Wednesday, July 15, 2009

Jambatan Manik Urai, Satu tanggongjawab 'Fardu Kifayah'.

Shabas kepada UMNO dan Tahniah kepada PAS, maka berakhirlah episod pilihanraya kecil dewan Undangan Negeri Manik urai dengan rakyat masih memilih orang PAS jadi wakil rakyat dikawasan tersebut.

Shabas kepada UMNO kerana dapat menunjukkan kekuatan sokongan iaitu daripada kalah 1300 undi dapat mengurangkan mejoriti PAS kepada 65 undi, satu tamparan hebat kepada PAS yang seakan-akan tidak pernah mahu mengaku kelemahan partinya.

Dan tahniah kepada PAS walau pun hampir kecundang dengan hanya menang tipis iaitu sebanyak 65 undi tapi dapat mengekalkan kerusi Manik Urai dan kedudukan kerusi di Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak berubah.

Selepas ini rakyat Manik Urai akan kembali tenang seperti biasa selain dari menunggu hari-hari majlis kesyukuran apabila edah yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya akan berakhir nanti. Disamping itu rakyat akan menunggu janji-janji dari parti PAS yang telah disuarakan oleh pemimpin mereka semasa kempen pilihanraya lalu.

Tentunya pilihanraya tidak berakhir setakat ini saja, pilihanraya yang lebih besar akan menanti dalam masa tiga tahun akan datang, Pilihanraya UMUM yang ke 13 nanti memerlukan kemenangan yang mutlak yang akan boleh merubahkan landscap politik tanahair terutamanya negeri Kelantan yang sudah lama ketinggalan dalam arus pembangunan Global.

Kelantan sebagai sebuah negeri yang penduduknya mejoriti besar adalah orang Melayu dan Islam perlu kepada prasarana yang lebih canggih dan pesat, jesteru itu perpaduan politik melayu hendaklah diutamakan dan fahaman politik hendaklah diletakkan sebagai agenda kedua dalam membela nasib bangsa. Perpaduan dan pengukuhan ummat hendaklah diutamakan, maka bertolak dari selesainya pilihanraya kecil Manik Urai yang telah jelas memberi mandat kepada pemimpin kedua-dua parti iaitu PAS dan UMNO kerana rakyat sekarang tidak berpihak, adalah lebih mengutungkan para pemimpin politik bersemuka untuk berbincang masa depan nasib dan maruah bangsa tertutamanya Melayu dan Islam.

Hak rakyat Kelantan hendaklah dikembalikan, Royalti Minyak hendaklah diagihkan untuk kepentingan rakyat bukan diberi atas keutamaan permintaan kerajaan negeri. oleh itu satu jawatankuasa pembangunan negeri dan rakyat kelantan hendaklah diujudkan bagi menyalurkan wang Royalti Minyak yang wajib diberi oleh Kerajaan pusat untuk pembangunan di negeri kelantan.

Disamping itu adalah tidak rugi sekiranya Tan Sri Muhyuddin Yassin terus menunaikan janjinya untuk membina sebuah jambatan di Manik Urai seperti yang telah beliau janjikan dalam kempen pilihanraya lalu walau pun UMNO tidak menang, kerana keujudan jambatan itu adalah sebagai fardu kifayah dan untuk kepentingan orang melayu yang serba kekurangan dikawasan tersebut.

Muhyuddin akan disanjung sebagai seorang tokoh dan pemimpin berjiwa rakyat, nama beliau akan disanjung oleh rakyat Manik Urai sekiranya janji jambatan itu jadi kenyataan. Kerana sebenarnya UMNO menang dalam kekalahan itu.

No comments: