Tiap-tiap kali ada pertukaran, Ketua Polis Negeri (CPO) ataupun Ketua Polis Daerah (OCPD), maka akan berlakulah tangkapan dan serbuan di Negeri itu ataupun Daerah itu. Tangkapan penjenayah, Serbuan terhadap kaki Ekor, Kelab- Kelab, rumah urut, disko dan segala tempat maksiat akan menjadi agenda utama, ini untuk membuktikan tempat tersebut akan bersih daripada jenayah dan tempat maksiat.
Maka tersebarlah berita melalui media massa dan media cetak, kecut perutlah para taukeh maksiat dan taukeh judi haram, rakyat pun suka. Amanlah tempat tersebut, tapi tidak lama, selepas dari itu, keadaan kembali tenang kepada pengamal maksiat. Jarang-jarang sekali ada tangkapan dan serbuan, kecuali dimusim-musim perayaan. Kenapa?. Ini bukan bererti pihak yang berkuasa tidak bekerja dan tidak ambil tindakan, ini berlaku kerana perkara maksiat ini susah hendak dihapuskan kerana banyak sangat permintaan, macam goreng pisang panas.
Begitu jugalah agaknya akan berlaku dizaman Dato' Najib menjadi Perdana Menteri, kalau usaha untuk menghapuskan rasuah tidak dibuat secara drastik, secara bersungguh-sungguh tanpa lelah untuk bekerja menghapuskannya, rasuah akan kekal menjadi musuh negara kerana permintaan untuk melakukan rasuah begitu tinggi dinegara kita ini.
Mereka yang melakukan rasuah dan yang akan melakukannya akan terhenti seketika sekiranya agenda pertama Dato' Najib ialah untuk mendakwa mereka yang failnya sudah siap dipejabat Peguam Negara terus didakwa. Ini menampakkan bahawa Dato' Najib tidak akan berkompromi kepada orang yang melakukan rasuah dan dengan cara ini amalan rasuah boleh dibendongkan sama ada oleh pegawai kerajaan ataupun orang politik.
Cari, korek keakar umbi, korek walaupun kedalam lubang cacing, mereka yang didapati menyalahguna kuasa dan mengamalkan rasuah semasa mereka berkuasa. Dakwa mereka, hukum mereka seberat-beratnya sekira didapati bersalah. orang yang jenis ini perlu diajar untuk memberi kesedaran kepada yang lain, jangan lepaskan mereka dengan alasan mereka sudah tidak berkuasa lagi sekarang, jangan biarkan mereka hidup bebas atas kekayaan melalui kejahatan amalan rasuah dan pecah amanah. Tangkap mereka, dakwa mereka. barulah rakyat kata Najib adalah Perdana Menteri yang BEST!.
Inilah salah satu yang rakyat tunggu-tunggu, membersihkan anggota kerajaan daripada berkhidmat dengan amalan rasuah, Menteri bersih, Ketua Setiausaha bersih, Pengarah-Pengarah bersih, wakil wakil rakyat bersih. Inilah kerajaan yang dinanti-nantikan oleh rakyat dan sekali lagi rakyat akan berkata, Najib is THE BEST!
Pilihanraya yang ke 13 nanti, rakyat sedang menanti untuk memberi hadiah yang istimewa kepada Dato' Najib, rakyat sedia menolak kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah, Perak, Selangor, waima di Kelantan sekiranya Dato' Najib boleh membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan beramanah dengan mengenepikan orang-orang tertentu dari menduduki kerusi menteri dan pegawai tinggi kerajaan. Dan sekiranya kehendak rakyat ini Dato' Najib dapat tunaikan maka sekali lagi rakyat akan tabik kata BEST! kepada Dato' Najib.
Hari Jumaat, (3.4.09) dengan izin Allah swt, Dato' Najib akan menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke 6. dan rakyat sedang menunggu, kerajaan bagaimana yang Dato' Najib akan bentuk dan siapa menteri dalam kabinetnya.
No comments:
Post a Comment