KOTA BHARU 8 April - Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan status siasatan ke atas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman berhubung dakwaan penyelewengan dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Ketuanya, Anuar Sapian berkata, semua pihak terutama rakyat di negeri ini mahu mengetahui status sebenar kes tersebut apatah lagi siasatan berkenaan telah memakan masa yang terlalu lama.
Katanya, timbul beberapa isu baru juga membabitkan Nik Abdul Aziz yang didedahkan dalam laman blog dan seharusnya diberikan perhatian SPRM."Pemuda dan beberapa individu telah membuat laporan SPRM berhubung isu Nik Aziz dan menantunya sejak tahun lepas tetapi hingga kini, tiada sebarang tindakan atau kenyataan mengenainya dibuat oleh suruhanjaya itu. "Sebelum ini, iaitu pada pertemuan dengan SPRM pada November lalu, kami dimaklumkan bahawa siasatan mengenai isu ini di peringkat pendakwaan tetapi selepas lima bulan, ia diam begitu sahaja, seolah-olah tiada sebarang tindakan diambil," katanya di sini hari ini.
SPRM mula menjalankan siasatan ke atas Abdul Ariffahmi sejak awal November lalu setelah timbul pelbagai dakwaan mengenai PMBK.Siasatan SPRM itu dikatakan berkisar tentang salah guna kuasa Abdul Ariffahmi dan pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang dipercayai melanggar akta suruhanjaya berkenaan.
Isu itu kemudian memuncak apabila Pegawai Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditamatkan kontraknya serta-merta.Pada masa sama, Nik Abdul Aziz mengakui beliau dan keluarganya menerima tajaan haji bernilai RM65,000 yang turut melibatkan AbdulAriffahmi serta beberapa ahli keluarganya.
Selepas isu itu mendapat liputan meluas media, Nik Abdul Aziz atas nasihat kepimpinan Pas Pusat mengarahkan menantunya itu meletakkan jawatan sebagai CEO PMBK.Sementara itu, Anuar berkata, pendedahan terbaru yang dibuat oleh blogger Kickdefella mengenai sumbangan terhadap Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang dijalankan oleh Pas Kelantan sebagai timbalbalas apabila meluluskan pemberian kawasan balak kepada syarikat tertentu.
"Blog itu turut mendedahkan dokumen-dokumen penting membabitkan sumbangan terhadap Pasti sekiranya diluluskan kawasan balak malah ada di antara dokumen terbabit turut disertakan nombor cek. "Pemuda telah membuat laporan kepada SPRM berhubung kandungan laman blog ini. Jadi kita minta mereka menjalankan siasatan kerana bukti yang dikemukakan seolah-olah menunjukkan secara sahih berlaku penyelewengan dan rasuah dalam kerajaan negeri pimpinan Nik Abdul Aziz," katanya.
Tambah Anuar, laman blog itu turut mendedahkan penglibatan seorang anak pemimpin Pas Kelantan yang dikatakan menggunakan pengaruh bapanya untuk mendapatkan kawasan balak. "Semua ini perlu disiasat, kita tidak mahu lagi rakyat negeri ini ditipu Nik Abdul Aziz dengan hanya perwatakannya yang alim. "Selain itu, saya juga meminta orang ramai supaya tidak menghantar anak-anak mereka ke Pasti kerana jelas ia menggunakan sumber kewangan yang meragui untuk pendidikan," katanya. (berita utusan malaysia).
2 comments:
utk pengetahwan tuan,saya sangat2berharap sepaya sprm menyiasat tok
guru agar segala tuduhan2 yg di bua
oleh penulis blog itu berakhir tampa keraguan samada benar atau tidak. sebenar nya kita berharap negeri kita di perintah dgn amanah oleh siapa saja.dan saya berharap juga kalau ternyata bloger itu penipu semuga allah melaknakan nya dan mendapat ganjaran dari fitnah nya. begitu juga dgn tok guru kalau beliau terlibat dlm penyeliwingan allah akan memberikan balasan nya kerana menkhianati amanah rakyat. allah aklam.
Terima Kasih.Itulah Keadilannya.
Post a Comment