SEMUA pihak digesa agar menghormati "kesendirian" (privacy) Istana Kelantan dan tidak cuba mengambil kesempatan daripada krisis yang berlaku sekarang untuk tujuan kepentingan diri atau kumpulan.
Meskipun Raja-Raja Melayu di Malaysia merupakan raja berperlembagaan, namun istana mereka dikawal oleh tradisi dan budaya yang tersendiri, yang tidak sama dengan tradisi dan budaya yang mengawal istana dan raja-raja di negara-negara lain, misalnya di England.
Melibatkan raja yang memerintah dengan mahkamah, meskipun daripada aspek tertentu perundangan merupakan sesuatu yang mungkin boleh dilakukan, namun dari segi tradisi dan budaya ia adalah suatu tindakan yang terpelanting jauh daripada adat dan tatasusila bangsa Melayu.
Merujuk keputusan penyemakan kes hak melawat suami oleh Che Puan Elia Suhana oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan, suka saya memberi pendapat bahawa berasaskan hukum dan budaya Che Puan perlu menangguhkan dulu acara lawatan berkenaan sehingga kes dakwaan cerai oleh Tuanku Ismail Petra selesai dibicarakan.
Mana tahu kalau-kalau talak tiga sudah jatuh sebelum ini dan mereka berdua tidak lagi merupakan suami isteri.
Dalam syariat Islam, talak akan jatuh sebaik saja dilafazkan. Walaupun undang-undang keluarga Islam Kelantan mengatakan ia mesti disahkan oleh mahkamah kalau ia dijatuhkan di luar mahkamah tetapi undang-undang juga tidak menafikan bahawa talak seperti itu berlaku dari segi agama.
Memaksa istana untuk menerima lawatan beliau dalam keadaan seperti ini membangkitkan berbagai implikasi, termasuk hukum, budaya dan malah mungkin undang-undang sendiri.
Saya berpendapat, mahkamah yang memutuskan semakan itu tidaklah berniat untuk memaksa Istana Mahkota Kelantan menerima Che Puan masuk mengadap Tuanku, kerana Istana tersebut adalah tempat bersemayam Tuanku dan Permaisuri Baginda dan merupakan kediaman persendirian yang tidak boleh diceroboh kalau tidak dibenarkan masuk, apa lagi untuk mengatakan menghalang kemasukan Che Puan untuk mengadap Baginda.
Orang biasa pun mempunyai hak untuk mempertahankan kediaman masing-masing dari dimasuki oleh orang yang mereka tidak suka.
Ternyata sekali lawatan yang tidak dijemput ke Istana Mahkota Kelantan itu merupakan tindakan di luar budaya dan kesopanan Melayu dan sepatutnya dielakkan agar semua pihak dapat menjaga maruah masing-masing.
Dari segi agama juga mungkin ada persoalan yang timbul, kerana dari segi agama sebelum kita bertandang perlu meminta izin terlebih dahulu.
Saya bersedia untuk bertemu para peguam bagi kedua-dua belah pihak bagi membincangkan perkara tersebut agar dapat diselesaikan dengan saksama berdasarkan hukum dan adat Melayu.
Sebagai seorang rakyat Negeri Kelantan saya rasa berkewajipan untuk memberi pandangan ini dan mengharapkan ia mendapat perhatian semua pihak agar dapat diselesaikan dengan saksama berdasarkan hukum dan adat Melayu.
Sebagai seorang rakyat Negeri Kelantan saya rasa berkewajipan untuk memberi pandangan ini dan mengharapkan ia mendapat perhatian semua pihak agar maruah Istana dan Raja-raja Melayu dapat diselamatkan.
Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid
Kuala Lumpur
1 comment:
hahahaha,
saudara tajuk posting ..bunyinya saudara seorang yang dangkal berfikir...
Post a Comment