Proses daftar PATI ditangguh
PUTRAJAYA 7 Julai - Kerajaan bersetuju menangguhkan sementara proses pendaftaran pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di bawah program penyelesaian menyeluruh atau Program 6P selepas mengesan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan melaluinya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penangguhan itu juga bagi membolehkan majikan mendaftarkan dua juta pekerja mereka yang sah ke dalam data sistem biometrik.
Menurut beliau, apabila semua pekerja asing yang sah selesai didaftarkan, Kementerian Dalam Negeri akan menggredkan mereka mengikut kategori dan sektor tertentu.
Kata beliau, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengumumkan secara lanjut mengenai penangguhan sementara Program 6P itu dalam masa terdekat.
"Kita dapat maklumat ada pihak yang nak buat duit, justeru kita putuskan majikan daftar dulu pekerja mereka yang sah dan mereka akan dibenarkan kembali bekerja dengan majikan masing-masing menggunakan pas sementara.
"Tak tahulah pasal apa ada pihak yang fikirkan dia boleh buat untung, hilangkan permit semua sekali, lepas itu kata dia PATI, mereka ingat boleh daftar balik, kemudian dapat duit. Ini kepala bijak dia orang dan kita nak elakkan ia daripada berlaku," katanya.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga kali kedua di Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan sebanyak 280 majikan telah menyatakan persetujuan untuk mendaftarkan pekerja asing dan PATI di bawah Program 6P.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam dilaporkan berkata, syarikat berkenaan akan mula mendaftar pada 11 Julai ini bagi memastikan premis dan pekerja mereka tidak disenaraihitamkan atau dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, apabila semua maklumat sudah direkodkan dalam sistem biometrik, pekerja yang sah tidak boleh 'lari' ke tempat lain selain dapat membantu kerajaan menangani masalah kebanjiran PATI di negara ini.
No comments:
Post a Comment