Monday, September 27, 2010

Anuar Musa, Duta ke Indonesia?


Semalam (26.9.2010) bertempat di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur dengan inisiatif Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dan kerjasama Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai Malaysia) dan Lembaga Persahabatan Indonesia-Malaysia (Prima Indonesia) telah berlangsung Majlis Makan Malam Amal dan Persembahan yang berjudul "PRIMADONA NUSANTARA" - BOB TUTOPOLY/JAMAL ABDILAH Sempena 50 tahun Hubungan Diplomatik Malaysia Indonesia, dengan tetamu kehormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia berlangsung dengan jayanya.

Walaupun persembahan pentas dikira hambar dan makanan mula disaji agak lewat yang mana perut para tetamu bernyanyi lagu keroncong, tapi ucapan Tan Sri Anuar Musa selaku Pengerusi Pengelola mendapat pujian dikalangan yang hadir. Beliau menyampaikan ucapan dengan melingkar sejarah silam sejak Majapahit dan Hang Tuan serta simbol Keris Taman Sari dan hubungan kelamin antara rakyat Malaysia dan Indonesia.

Katanya, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga serta takkan putus air yang dicicang mendapat tepukan yang gemuruh. Itulah kelebihan Anuar Musa apabila copong pembesar suara berada ditangannya. Seorang pemimpin UMNO Bahagian Pasir Puteh yang bersama dimeja saya memuji kehebatan Anuar Musa mengupas persahabatan diantara rakyat Indonesia dengan Malaysia dan katanya Anuar Musa layak sekiranya Kerajaan Malaysia mencadangkan Anuar Musa menjadi Duta Malaysia ke Indonesia.

Saya sokong pendapat orang kuat UMNO Bahagian Pasir Puteh itu, kerana saya tahu Anuar Musa mempunyai ramai kenalan orang Indonesia sama ada orang biasa, bekas pemimpin pemerintah republik Indonesia ataupun yang sekarang jadi pembesar di negera jiran itu. Apatah lagi Anuar Musa mempunyai ramai peminatnya disana.

Oleh itu Kerajaan Malaysia yang sekarang ini menghadapi suasana yang tidak baik dengan rakyat Indonesia adalah perlu memikirkan supaya seorang Duta yang ada hubungan peribadi dengan rakyat Indonesia dipilih untuk mengantikan Duta yang ada sekarang bagi meredakan protes rakyat Indonesia di kedutaan Malaysia disana.

Kalau dulu Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat berjaya merapatkan perhubungan diantara Malaysia dengan Indonesia, saya percaya Anuar Musa juga boleh melakukannya dengan pengalaman yang beliau ada selain bekas seorang Menteri yang kaya beliau juga pandai mengambil hati rakyat Indonesia.

Tentunya Anuar Musa tidak akan menolak sekiranya Kerajaan memberi tanggongjawab sebagai misi negara walaupun beliau terpaksa mengorbankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Ketereh. Apa sangatlah jasa yang beliau boleh curahkan kepada negara dengan hanya menjadi Ketua Bahagian UMNO kalau hendak dibandingkan tenaga beliau diperlukan untuk ditempatkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bagi menjalinkan hubungan yang rapat untuk kepentingan negara Malaysia dengan Indonesia.

Kalau Jamaluddin Jarjis boleh jadi Duta ke Amerika Syarikat, Ibrahim Saad jadi Duta ke Filipina kenapa tidak Anuar Musa diberi tanggongjawab sebagai Duta Malaysia ke Indonesia. Beliau layak dan mampu menjadi seorang Duta terutamanya untuk ke negara Indonesia.